Powered By Blogger

Friday, February 11, 2011

Saudara perlu BERUBAH apabila mahukan PERUBAHAN





Fitrah Alam Ketentuan Allah

Siapa yang mahu perubahan yang baik, dia mesti mengubahnya dengan usaha sendiri.  Tiada satu mesin ataupun azimat ajaib yang dapat digunakan bagi mengubah diri menjadi baik sekelip mata. Tuhan menyebut di dalam Al-Quran surah ar-Ra’d ayat 11,

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

            Tidak ada petua yang lebih baik apabila saudara mahu perubahan selain daripada saudara sendiri yang mengubahnya. Sekiranya saudara mahu berjaya, saudara mesti ‘menjayakan’ diri saudara, bukan orang lain. Begitu juga apabila mengurus kerja. Apabila saudara mahu orang lain menepati masa, saudaralah yang mesti melakukan telebih dahulu. Apabila saudara mahu kerja yang tersusun, saudara mesti buat kerja saudara secara tersusun. Apabila saudara mahu rakan-rakan saudara komited dan dedikasi.


Jadilah Benih Yang Subur

Ada satu pepatah Melayu yang sepatutnya menjadi iktibar kepada saudara semua, ‘Jadilahm benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, campak ke darat menjadi rimba’.

            Mengapakah kadangkala kita tidak berjaya ‘mengawal’ dan ‘mendorong’ orang lain supaya berkerja bersama kita? Sering kali dalam kerja berpasukan, kita hilang kawalan dan tidak boleh berkerja dengan orang lain. Kenapa? Saudara tahu kerja berpasukan penting dalam pengurusan kerja hari ini. Tetapi kenapa kita masih gagal melakukannya?

            Ya, kerana kita bukan ‘benih’ yang baik. Benih yang baik dapat membawa perubahan kepada suasana dan orang yang berada di sekelilingnya. Setiap orang berasa kehadiran dan kewujudannya. Karismanya dan kepemimpinannya terselah. Akhlak dan budinya tinggi. Hubungannya sesama manusia sungguh mengagumkan. Kemana sahaja dia pergi, dia pasti menjadi ‘pulau’ dan ‘rimba’ yang mengubah suasana. Adakah saudara termasuk dalam ‘sebijik benih yang subur’?

 Almarhum Haji Abdullah Mohammad, seorang aktivis masyarakat di Pantai Timur semasa berucap di Kuala Besut pada akhir 1940-an pernah berpantun,

Jadilah benih yang bernas,
Seribu tahun dijemur panas,
Digetus digetas binatang buas,
Tetap tumbuh mencetus tunas.

Jangan Salahkan Keadaan, Buat Perubahan

            Mungkin saudara berada dalam suasana kerja yang lembab dan membosankan. Mesyuarat yang berjela-jela, polisi kerja yang tidak produktif, kertas laporan yang bertaburan, tempat yang bersepah dan banyak lagi. Apa yang saudara perlu lakukan? Salahkan kepada takdir?  Jangan salahkan takdir, buatlah perubahan dengan saudara berubah terlebih dahulu.

            Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu lima kaki satu inci sahaja, selalu dipermainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat dia belajar kerana dia pendek. Tambahan pula Napoleon berasal dari Pulau Corrsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis. Tetapi adakah beliau menyalahkan takdir? Tidak,  beliau bertekad hendak melakukan perubahan.

            Kerana itu, Napoleon berazam hendak menunjukkan kepada rakan-rakannya dia lebih baik daripada orang lain. Beliau belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Beliau mengubah dirinya menjadi orang cemerlang. Akhirnya, beliau menjadi MaharajaPerancis yang berjaya menakluki tiga suku Benua Eropah. Kenapa? Kerana beliau tidak menyalahkan keadaan, sebaliknya beliau mengubah dirinya sendiri bagi mengubah keadaa.            

No comments:

Post a Comment