Powered By Blogger

Wednesday, February 2, 2011

BERLELUASANYA AMALAN ZINA TANDA DUNIA HAMPIR KIAMAT



“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al Isra’ 17:32)

Punca

 Pusat-pusat pelacuran underground:

a. Pusat-pusat pelacuran yang masih lagi wujud di beberapa tempat yang sedia makruf, kurang dikenakan tindakan yang sewajarnya. Bapa-bapa ayam masih lagi beroperasi dan bebas menjalankan “perniagaan anak dara”. Pelacur-pelacur merasa seronok apabila mendapat habuan setiap malam, sedangkan mereka lupa bahawa mereka telah dibinatangkan.
b. Kenapakah pusat pelacuran ini boleh berkembang biak walaupun telah digariskan undang-undang? Jawapannya ialah, undang-undang yang digariskan tersebut tidak selari dengan Islam. Firman Allah SWT :
Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (Surah al Baqarah : 229)

FirmanNya lagi
Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya (Surah al Baqarah : 30)


Kes perzinaan ini semakin lama semakin menjadi perkara biasa dalam kehidupan masyarakat. Kita sering terserempak dengan pemandangan keji di mana lelaki dan perempuan berdua-duaan, malah terlalu banyak kita melihat sekumpulan remaja lelaki dan perempuan duduk bersama-sama bercampur gaul tanpa batas. Di samping kekejian yang mereka lakukan, nampaknya pihak ibubapa juga tidak mempedulikan lagi tentang pergaulan bebas anak lelaki atau anak perempuan mereka. Mereka tidak lagi bertindak sebagai 'wali' (penaung/penjaga) kepada anak-anak perempuan mereka, bahkan mereka banyak memberikan turut memberikan sumbangan kepada kemaksiatan anak-anak mereka, membenarkan anak lelaki atau perempuan mereka menjalinkan hubungan cinta sebelum nikah. Keluar rumah dengan tidak menutup aurat telah dianggap perkara biasa. Terlalu sedikit kita mendengar ibubapa yang menyuruh anak perempuan mereka keluar berjubah dan bertudung sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kesan
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam.


Cara mengatasi

 Antara Cara Mengatasi:

Selain kita wajib menjauhi aspek-aspek negatif yang disebutkan, kita perlu kembali kepada cara asas yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Iaitu;

i. Menundukkan pandangan, baik lelaki mahupun perempuan. Dalam erti kata khusus, menjaga pandangan mata daripada bercampur dengan unsur-unsur seksual. Daripada Jarir bin ’Abdillah al-Bajali RA, berkata: "Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang memandang perempuan dengan pandangan secara tiba-tiba, maka baginda memerintahkanku untuk memalingkan pandanganku." Dalam riwayat lain beliau bersabda: "Tundukkan pandanganmu." (Riwayat Muslim)

Daripada ’Abdullah bin Buraidah, dari ayahnya berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada ’Ali bin Abi Talib RA: "Hai 'Ali, janganlah engkau ikuti satu pandangan dengan pandangan lainnya. Sesungguhnya bagimu hanya pandangan yang pertama dan tidak bagi pandangan yang selanjutnya." (Riwayat Abu Dawud)

ii. Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Ini kerana pergaulan itu perlu bersandar kepada batasan-batasan syarak. Daripada Ibnu ’Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat al-Tirmizi)

iii. Menekankan tanggungjawab kaum lelaki dalam membimbing kaum wanita agar mengikuti kehendak syarak, seperti tanggungjawab bapa terhadap anak perempuan, dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebagainya. Daripada Usamah bin Zaid RA, Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah aku tinggalkan fitnah di tengah-tengah manusia sepeninggalanku yang lebih berbahaya daripada fitnah wanita.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga kita dan zuriat kita dipelihara dan dijauhkan oleh Allah SWT daripada perbuatan keji dan maksiat ini. Wahai para pelajarku, janganlah kalian mendekati zina walaupun unsur-unsurnya yang kecil sekalipun, dan jauhilah perbuatan dosa dan maksiat.